Ahad, Ogos 08, 2010

Universiti Al-Azhar Kaherah Mesir sesi (1988/89 - 1991/92)

Universiti Al-Azhar Kaherah Mesir mempunyai 4 fakulti utama pada masa itu, iaitu Kulliah Usuluddin, kulliah syariah, kulliah lughah arabiah dan kulliah Dirasat Islamiah.

Aku ke Mesir pada tahun 1988 dan mendaftar masuk di Universiti Al-Azhar Mesir dengan menggunakan Sijil Tinggi Ugama (STU) yang diambil di peringkat tingkatan enam bawah semasa menuntut di SMU(A) Amir Indera Putra Beris Kubur Besar Bachok Kelantan.

Sijil Tinggi Ugama (STU) yang dikeluarkan oleh Yayasan Islam Kelantan ini diiktiraf oleh pihak universiti al-Azhar dan layak (muadalah) untuk masuk ke tahun satu di Universiti al-Azhar.

Jumlah masa pengajian di universiti al-Azhar ialah 4 tahun. Ia tidak menggunakan sistem jumlah credit hour sepertimana yang digunakan oleh kebanyakan universiti tempatan. Tidak hadir sepanjang kuliah pun tidak menjadi masalah asalkan hadir pada hari peperiksaan.

Sebab itu ramai di kalangan orang-orang arab yang hanya mendaftar di awal sesi pengajian kemudian selepas itu hilang entah ke mana. Tetapi pada hari peperiksaan mereka muncul pula dengan jumlah yang ramai sekali. Pada hari-hari kuliah kehadiran pelajar hanya sekitar 30 hingga 40 orang sahaja setiap hari untuk setiap mata pelajaran.

Mereka membeli buku-buku rujukan untuk peperiksaan yang biasanya di tulis sendiri oleh pensyarah mereka. Buku-buku tersebut dikenali sebagai muzakkirat.

Untuk menghabiskan pengajian di universiti al-Azhar memerlukan lulus setiap mata pelajaran yang ditetapkan sepanjang tahun pengajian.

Terdapat beberapa pangkat bagi menandakan kelulusan bagi setiap peperiksaan yang diadakan pada setiap penghujung sesi pengajian.

Pangkat yang tertinggi disebut sebagai Mumtaz atau imtiaz (Cemerlang). Kemudian diikuti dengan pangkat Jayyid Jiddan (Sangat Baik). Pangkat seterusnya ialah Jayyid (Baik). Kemudian diikuti dengan pangkat Makbul (Lulus). Kesemua pangkat ini akan melayakkan seseorang pelajar itu naik ke tahun berikutnya.

Contohnya sekiranya mereka mendapat pangkat Rasib (Gagal) di tahun satu, mereka dikehendaki mengulang dan tidak dibenarkan naik ke tahun dua sehingga mereka lulus peperiksaan di tahun satu.

Ada satu lagi pangkat iaitu Mankul. Mankul ialah sekiranya pelajar itu gagal satu atau dua mata pelajaran sahaja. Gagal satu disebut mankul bi maddah wahidah (Membawa satu mata pelajaran). Gagal 2 disebut mankul bi maddataini iaitu membawa dua mata pelajaran (ke tahun berikutnya).

Pelajar yang mankul boleh naik ke tahun seterusnya tetapi dikehendaki mengulang peperiksaan bagi mata pelajaran yang gagal itu. Contohnya pelajar yang mendapat pangkat Mankul dua matapejaran di tahun satu boleh naik ke tahun dua. Sekiranya terdapat 21 mata pelajaran di tahun dua dan mereka gagal 2 mata pelajaran di tahun satu, mereka dikehendaki mengambil peperiksaan sebanyak 23 mata pelajaran di hujung sesi tahun dua. Begitulah seterusnya.

Aku ceritakan ini berdasarkan pengalaman sewaktu belajar dahulu. Pada tahun satu aku mendapat keputusan Jayyid. Tetapi pada tahun dua aku mankul satu mata pelajaran. Pada tahun tiga aku mankul lagi satu mata pelajaran.. aduhai.... Tapi kesemua mata pelajaran yang mankul itu dapat aku bereskan kesemuanya dan pada tahun empat aku mendapat keputusan Jayyid.

Keputusan umum bagi keseluruhan pengajian adalah dikira berdasarkan keputusan tahun akhir.

Pada masa itu hanya keputusan Jayyid dan ke atas sahaja yang diiktiraf oleh JPA sebagai Kepujian.













Tiada ulasan:

Disqus for Jalanan Hamba