Ahad, Ogos 15, 2010

Bidang Pengajian Universiti Al-Azhar Kaherah Mesir

Sepertimana yang telah dinyatakan pada tajuk yang lalu bahawa Universiti Al-Azhar cawangan Kaherah Mesir mempunyai 4 fakulti utama pada masa itu, iaitu Kulliah Usuluddin, kulliah syariah, kulliah lughah arabiah dan kulliah Dirasat Islamiah.

Aku mengambil bidang Usuluddin sebagai bidang pengajian sewaktu di universiti Al-Azhar Kaherah Mesir.

Bidang usuluddin mempunyai 4 syukbah iaitu cabang bagi sesutu bidang. Ianya disebut sebagai "minor" di universiti-universiti tempatan. Seseorang pelajar perlu membuat pilihan syukbah ketika di tahun tiga. Tetapi pilihan tersebut perlu mendapat kelulusan pihak universiti terlebih dahulu berdasarkan pencapaian terhadap mata pelajaran di tahun satu dan dua. Aku telah memilih syukbah Akidah dan Falsafah. Kebetulan nama aku didapati naik untuk syukbah tersebut maka aku pun bersetuju untuk mengikutinya.

Selain syukbah akidah dan falsafah, terdapat 3 syukbah lagi yang berada di bawah bidang usuluddin. Syukbah tersebut ialah syukbah tafsir, syukbah hadith dan syukbah dakwah.

Berdasarkan statistik, syukbah akidah dan falsafah adalah syukbah yang paling kurang diminati berbanding dengan syukbah lain. Pada tahun aku sahaja terdapat hanya 4 orang dari Kelantan Malaysia yang mengikuti aliran ini. Manakala pada tahun sebelumnya hanya 2 orang sahaja.

Dengan mengukur terhadap penuntut dari Kelantan Malaysia sahaja sudah pun boleh dibuat pengukuran bagi mewakili seluruh pelajar Malaysia yang lain. Ini kerana penuntut dari Malaysia adalah yang teramai ketika itu dari kalangan warga asing. Dari Kalangan penuntut Malaysia pula, penuntut dari Kelantan adalah yang teramai.

Bagi mereka, syukbah akidah dan falsafah ini agak susah berbanding dengan syukbah lain, kerana untuk mengikuti syukbah ini kita perlu banyak menggunakan daya pemikiran dan perlu pemahaman yang lebih untuk menguasainya. Manakala bagi syukbah yang lain, hanya bergantung kepada hafalan dengan sedikit pemahaman sahaja.

Terdapat beberapa aliran lagi yang jarang diminati oleh penuntut dari Malaysia. Umpamanya bagi Kuliah Lughah Arabiah (Fakulti Bahasa Arab), yang paling jarang diminati oleh penuntut Malaysia ialah Lughah Arabiah wa Tarjamah. Dalam aliran ini, penuntut selain diajar mendalami bahasa arab, mereka juga diajar cara menterjemahkan bahasa arab ke bahasa pilihan dengan cara yang betul. Peluang pekerjaan setelah mereka kembali ke Tanahair juga luas bukan hanya bergantung kepada sekolah semata-mata.

Bagi kuliah syariah juga ada satu aliran yang kurang diminati oleh penuntut Malaysia. Pengajian yang dimaksudkan ialah Kuliah syariah wal Qanun. Padahal ini adalah satu bidang yang diperlukan oleh masyarakat kerana kurangnya orang yang menceburu bidang tersebut. Kuliah syariah wal Qanun atau fakulti syariah dan Undang-undang akan melayakkan penuntutnya menjadi seorang peguam syari'i. Kalau fakulti syariah yang biasa tu hanya akan melahirkan seorang guru agama di sekolah dan guru yang mengajar agama di surau-surau dan masjid-masjid sahaja.

Ini adalah serba sedikit yang sempat aku ingat untuk dikongsi bersama dengan para pembaca. Segala salah dan silap serta kekurangan dalam penulisan berkenaan dengan tajuk ini haraplah dimaafkan.

8 ulasan:

Tie berkata...

Alhamdulillah.. bertuah dapat menuntut ilmu di sana. Sekarang ni bertugas di mana ?

Aku Musafir berkata...

Sekarang ni bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah maahad di bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan.. terdapat entry tentang pengalaman seorang guru.. search label...

Tanpa Nama berkata...

salam..nx tny..sya plajar SMA..n ambik bidang sains..klau nx ambik bidang syariah kat al-azhar lpas SPM,boleh an??so kne straight A's or just certain2 subjek jew kne A's??faham x??:)

Jalanan Hamba berkata...

Pelajar SMA atau SMKA yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir.. tidak menjadi masalah untuk berbuat demikian walaupun dari aliran mana yang mereka belajar.. tetapi mereka mestilah terlebih dahulu mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di peringkat tingkatan enam bawah.

Ini merupakan peraturan biasa yang dikenakan kepada semua pelajar di Malaysia termasuk pelajar-pelajar aliran arab agama kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan lain-lainnya.

Mereka mestilah mendaftar untuk mengambil peperiksaan STAM dan mestilah lulus kesemua 10 matapelajaran yang ditetapkan.

Tanpa Nama berkata...

salam..macam mane nak mohon?saya sdg tgu result stam..tp tak tahu macam mane nk mohon belajar d sana?

Jalanan Hamba berkata...

Cara yang paling mudah untuk memohon belajar di universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir ialah dengan menghubungi institusi atau mana-mana badan berkanun yang menaja atau mengurus permohonan kemasukan pelajar ke Mesir. Kita hanya perlu menyediakan dokumen yang diperlukan dan yang selainnya akan diuruskan oleh pihak terbabit. Contohnya Yayasan Islam Kelantan (YIK)ada menguruskan permohonan pelajar yang ingin ke Mesir. Borang permohonan boleh didapati di Pejabat YIK sebaik result STAM dikeluarkan.

Selain itu terdapat juga badan-badan yang lain atau intitusi pendidikan swasta yang menguruskan permohonan pelajar ke Mesir.

Kita juga boleh menguruskan sendiri permohonan kemasukan kita dengan menyediakan segala syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak universiti al-Azhar.

Untuk maklumat lanjut sila ke;

JABATAN PENGAJIAN TINGGI
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
ARAS 1-3, BLOK E9, PARCEL E, PRESINT 1
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62505 PUTRAJAYA

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum...nk tye ckit..lau x ambik stam,mmg x dpt ke nk p blaja sane?

Tanpa Nama berkata...

salam....nak tau pecahan bidang lughah di saner?boley?

Disqus for Jalanan Hamba