Jumaat, Mac 19, 2010

Pro dan Kontra dalam Sambutan Maulidurrasul




Wah nampaknya sambutan maulidurrasul pun ada pro dan kontra juga sekarang ni ya.

Sambutan maulidurrasul bererti menyambut ulangtahun kelahiran nabi Muhammad S.A.W. dengan menyemarakkan ucapan salawat kepada baginda S.A.W. Ianya disambut oleh kebanyakan umat Islam seluruh dunia sama ada dengan mengadakan beberapa acara yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, badan berkanun, swasta atau oleh orang perseorangan. Orang perseorangan selalunya menyambut maulidurrasul di rumah-rumah dengan menjemput saudara-mara, sahabat handai atau kenalan.

Tujuan asas dalam sambutan maulidurrasul ialah untuk mengingati perjuangan nabi Muhammad S.A.W. menyebar dan meninggikan syiar Islam. Cara yang biasa dilakukan oleh umat Islam ialah dengan bersalawat dan memuji Rasulullah S.A.W. Di sesetengah tempat, sambutan maulidurrasul dilakukan dengan mengadakan perarakan sambil bersalawat kepada nabi Muhammad S.A.W. Samada ianya dimulai dengan ceramah agama dan disudahi dengan perarakan salawat nabi ataupun dimulai dengan perarakan dan disudahi dengan ceramah agama tidaklah dapat dipastikan bergantung kepada adat dan budaya setempat. Untuk ini aku memohon maaf kerana tidak dapat memastikan perkara ini kerana kawasan tempat tinggal aku tidak pernah dianjurkan perarakan jadi aku pun tidak pernah menyertai mana-mana perarakan maulidurrasul. :-(

Sejak akhir-akhir ini timbul isu mengenai perarakan dalam sambutan maulidurrasul. Semuanya bermula apabila Pulai Pinang yang diperintah oleh DAP menerusi pakatan pembangkang telah membatalkan perarakan maulidurrasul. Sejak itu ramailah para ulama yang mempertahankan pembatalan tersebut dan tidak kurang juga ulama yang membantah. J

Isu samada perlukah ada perarakan atau tidak perlu sebenarnya perkara kecil sahaja. Ini kerana untuk menyambut maulidurrasul tidak semestinya dengan perarakan. Di rumah-rumah juga boleh disambut maulidurrasul sepertimana yang biasa berlaku di kampung aku. Di saat untuk bersalawat, semua seisi keluarga atau sesiapa sahaja yang berada di majlis tersebut akan berdiri sambil bersalawat memuji Rasulullah S.A.W. Selawat nabi biasanya akan diselangi dengan membaca rangkap-rangkap syair yang cukup indah. Biasanya majlis maulidurrasul yang diadakan di rumah akan disudahi dengan jamuan ringan atau apa-apa jamuan sekadarnya mengikut kemampuan tuan rumah.

Isu yang sebenarnya timbul sejak dahulu lagi bukanlah isu perarakan tetapi isu yang dilontarkan oleh segelintir ulama iaitu  apakah bid’ah atau tidak merayakan maulidul rasul? adakah sambutan ini wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. atau tidak? Adakah sambutan ini wujud pada zaman Abu Bakar r.a.? Adakah sambutan ini wujud pada zaman Saidina Umar r.a.? Adakah sambutan ini wujud pada zaman Saidina Usman dan Ali?

Oleh kerana jawapannya tidak, maka sebab itulah ada segelintir ulama telah menolak sambutan maulidurrasul ini.

Ulama yang mempertahankan sambutan pula berdasarkan beberapa sebab. Ini kerana tidak salah memperingati hari kelahiran Rasulullah S.A.W asalkan Upacara sambutan Maulidur Rasul tidak melibatkan unsur-unsur yang menyalahi syariat. Jika sekiranya sambutan itu diisi dengan ilmu dan ibadah, maka ia sudah tentu akan memberikan menafaat yang besar kepada umat Islam.

Bagi aku, aku terima pendapat yang kedua iaitu tidak salah menyambut maulidurrasul malah digalakkan kepada umat Islam menyambutnya. Walaupun Rasulullah tidak pernah mengadakan perarakan, berzanji atau nasyid seperti yang diamalkan sekarang ini, namun umat Islam seharusnya memperingati sesuatu peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Ia bertujuan bagi mendapat pengajaran dari sesuatu peristiwa tersebut.

Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda juga pernah disambut dengan perarakan, berzanji dan nasyid, namun Rasulullah tidak pernah menghalangnya. Ini membuktikan perarakan, berzanji dan nasyid itu tidak salah.

Aku sudahi perbahasan tentang sambutan maulidurrasul ini dengan meninggalkan satu persoalan, iaitu perarakan sambutan kelahiran nabi itu merupakan salah satu dari syiar Islam. Menyambutnya adalah sebagai tanda meraikan kebesaran junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. Semua para muhibbin dan siddiqiin meraikannya. Sedangkan seluruh alam meraikan kelahiran baginda termasuk Abu Lahab, dimana beliau telah memerdekakan beberapa orang hamba sebagai meraikan kelahiran anak saudaranya Muhammad, apatah lagi kita yang mengaku umatnya dan mengaku menyayanginya?. Wallahuaklam.

Tiada ulasan:

Disqus for Jalanan Hamba