Jumaat, Mac 12, 2010

Idea menulis blog

Idea dalam menulis blog

Kebanyakan para bloger sentiasa memikirkan apakah yang ingin ditulis pada hari ini atau pada minggu ini atau pada bulan ini. Bergantung pada masa yang mereka ada. Aku juga pernah mengalami hal yang sama. Ya betul, kita boleh tulis apa sahaja umpamanya berkenaan dengan diri kita seperti “Apa yang telah kita makan hari ini”. Tetapi sejauhmanakah blog yang kita tulis itu bermaklumat atau mempunyai nilai maklumat yang diperlukan oleh para pembaca.

Apa yang ingin aku kongsikan di sini ialah banyak perkara yang boleh membantu kita dalam menulis blog asalkan kita mempunyai cukup masa untuk menulis. Antaranya ialah dengan menulis sesuatu yang berkaitan dengan bidang kita sama ada bidang pengajian kita atau bidang kerja kita. Umpamanya seseorang yang berlatarbelakangkan agama boleh menulis sesuatu yang berkaitan dengan keagamaan seperti menulis tajuk-tajuk yang berkaitan dengan tauhid atau fekah. Dengan itu tajuk mereka lebih mudah dijumpai di internet apabila ada pembaca yang mencarinya. Begitu juga bagi mereka yang berlatarbelakangkan  pendidikan ekonomi, sejarah atau sebagainya.

Selain itu kita juga boleh menyertai sesuatu kumpulan perbincangan umpanya mendaftar dengan yahoo group dan pilih group yang sesuai dengan kita. Melalui perbincangan dalam group akan mendatangkan idea-idea kepada kita dalam menulis blog. Selain itu kita juga tidak akan terburu-buru dalam menulis blog. Ini kerana kita masih lagi mengumpul maklumat dan akan membuat penilaian terlebih dahulu sebelum menulis satu tajuk yang sedang dibincangkan dalam yahoo group.

Kita juga boleh memanfaatkan beberapa laman sosial dalam menulis blog. Untuk ini aku memberikan contoh facebook kerana ia dilihat lebih interaktif. Dengan menyertai kumpulan dalam facebook dan berbincang di sana, akan mendatangkan idea kepada kita seperti yang telah diceritakan tentang yahoo group sebentar tadi. Selain itu, kita juga boleh mengeluarkan status kita di wall facebook kita bagi mengutip maklum balas dari rakan-rakan dan ianya tentu dapat membantu dalam penulisan blog.

Umpamanya aku pernah menggunakan facebook sebelum menulis satu tajuk dalam blog. Tujuannya untuk melihat sejauhmana kontroversinya, sambutannya, dan komen-komennya. Setelah berpuas hati barulah ianya diterbitkan di blog. Bukan semua yang aku tulis di blog ini aku survey dulu di facebook. Cuma ada sesetengah pendapat yang ingin aku kemukakan itu mungkin terdapat pro dan contra. Jadi melalui pro dan contra tersebut, kita dapat membuat kesimpulan dan mungkin kita boleh ceritakan sekali pro dan contranya di blog kita.

Ini adalah pandangan aku sahaja. Lain padang lain belalang. Setiap orang mempunyai cara masing-masing dalam mencari idea. Wallahu aklam...


Reblog this post [with Zemanta]

1 ulasan:

Hadjie berkata...

Penulisan kita dibayar dengan nilai masa pembaca. Berusahalah beri yang terbaik untuk mereka dan diri kita.

Disqus for Jalanan Hamba