Sabtu, Oktober 31, 2009

Pengertian Tauhid berdasarkan ulama

Tauhid ialah mengesakan Allah Taala. Contohnya ialah mengesakan Allah Taala pada kepercayaan dan mengesakan Allah Taala pada ibadatnya. Huraianya dapat dibahagikan kepada tiga iaitu Tauhid Rububiah, Tauhid Uluhiah dan Tauhid Asma' wa Sifat.

Ada yang mengatakan pembahagian Tauhid ini adalah berdasarkan fahaman ulamak wahabiah, namun pembahagian ini sudah pun menjadi sukatan pelajaran Tauhid di sekolah-sekolah menengah. iaitu sukatan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. 

Aku tidak nampak apa-apa yang tidak kena pada pembahagian ini, walaupun aku bukan seorang yang menyokong fahaman wahabiah. Apa-apa yang tidak bercanggah boleh diterima.

Tauhid Rububiah

Rububiah berasal daripada perkataan rabb iaitu yang menjaga, yang memiliki, yang memerintah, yang mengurus, yang mentadbir, yang berkuasa dan sebagainya.

Jadi pengertian tauhid rububiah ialah percaya dengan sebenar-benarnya bahawa Allah sahajalah yang menjaga, yang memiliki, yang memerintah, yang mengurus dan yang mentadbir alam ini dan seluruh makhluk. Allah sahajalah yang berkuasa dan yang lain tidak berkuasa.

Jadi kita hendaklah mentauhidkan kepercayaan kita hanya kepada Allah Taala sahaja iaitu percaya dengan sebenar-benarnya bahawa Allah Taala sahajalah yang berkuasa, makhluk tidak ada kuasa, dan kita hendaklah percaya bahawa Allah Taala sahajalah yang memiliki, menjadi raja dan pengurus sekalian alam. Dialah Yang Maha Agong, tidak ada yang lebih agong daripadanya.

Antara Ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan Tauhid Rububiah ialah;

ألا له الخلق والأمر تبارك الله رب العلمين (54:7)

Terjemahan:

“Ingatlah, mencipta dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah Yang Memiliki / Menjaga sekalian alam.” (7:54)

والله يحي ويميت والله بما تعملون بصير (156:3)

Terjemahan:

“Hanya Allah Yang Menghidup dan Mematikan. Allah Maha Melihat segala apa yang kamu lakukan.” (3:156)

Tauhid Uluhiah

Uluhiah berasal daripada perkataan ilah iaitu yang disembah atau diibadati. Itulah yang dimaksudkan dengan tuhan mengikut faham ulama usuluddin dan ulama syariat.

Maksud Tauhid Uluhiah ialah beriktikad bahawa Allah sahaja Yang Berhak Diibadati, samada ibadat zahir atau batin. Ibadat zahir seperti solat, doa dan nazar. Ibadat batin seperti harapan, takut dan ikhlas.

Kita hendaklah mentauhidkan amalan kita hanya kepada Allah Taala iaitu memperhambakan diri hanya kepada Allah Taala. Cinta dan takut kita kepada Allah Taala melebihi dari segala sesuatu. Kita hanya mengharap kepada Allah Taala sahaja dan menyerah segala urusan hanya kepada Allah Taala jua.

Lawan kepada tauhid ialah syirik iaitu menduakan Allah Taala. Syirik juga berlaku pada kepercayaan dan ibadat. Contoh syirik pada kepercayaan ialah percaya Allah Taala berkuasa tetapi pada masa yang sama atau pada masa yang lain percaya makhluk juga berkuasa. Contoh syirik pada ibadat ialah mengharap dan berdoa pada Allah Taala tetapi pada masa yang lain mengharap dan berdoa pada yang lain.

Antara tuntutan Tauhid Uluhiyah ialah kita hendaklah mengkhususkan ibadat hanya kepada Allah Taala sahaja dan menjauhkan diri daripada amalan-amalan syirik kerana ia merosakkan akidah.

Firman Allah;

واعبدوا الله ولا تشركوا به شيئا (36:4)

Terjemahan:

“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mensyirikkanNya dengan sesuatu.” (4:36)

Ibadat mengandungi dua unsur, iaitu ketaatan yang mutlak dan kasih yang sempurna kepada Allah Taala. Kedua-dua unsur ini mesti dicantumkan supaya ibadat menjadi sempurna.

Firman Allah;

والذين آمنوا أشد حبا لله (165:2)

Terjemahan:

“Dan orang-orang beriman sangat kasih akan Allah.” (2:165)

Tauhid Asma’ wa Sifat

Tauhid Asma’ wa Sifat mengikut ulama usuluddin dan ulama syariat ialah mempercayai bahawa Allah Taala mempunyai nama-nama yang baik dan sifat-sifat yang sempurna.

Huraian kepada Tauhid Asma’ dan Sifat ialah secara ijmali (umum) dan secara tafsili (satu persatu).

Beriman secara ijmali ialah percaya bahawa Allah Taala bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan bersih daripada segala sifat kekurangan dan sifat-sifat yang tidak layak dengan kebesaran dan kesempurnaannya.

Manakala beriman secara tafsili pula ialah percaya dengan segala nama dan sifat-sifat Allah sepertimana yang dinyatakan di dalam al-Quran. Para ulama telah menghimpunkan daripada al-Quran iaitu terdapat 99 nama Allah yang baik yang dikenali sebagai Al-asma’ al-husna. Manakala sifat-sifat Allah pula para ulama usuluddin telah menghimpunkan bahawa terdapat 20 sifat yang wajib bagi Allah, 20 sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat harus bagi Allah.

2 ulasan:

ahmad zamani berkata...

assalamualaikum...boleh tak klu ustaz nyatakan sumber rujukan..

Unknown berkata...

Waalaikum Salam... Sumber rujukan utama ialah Al-Quran.. Setiap satu keterangan di atas telah disusuli dgn al-Quran.. Cuma pembahagian Tauhid kepada 3 bhg tu.. telah dilakukan oleh ulama muta-akhirin..

Sebenarnya di zaman Rasulullah tidak ada pun pembahagian2 tu.. cuma ulama buat pembahagian tu bagi memudahkan kita memahaminya... supaya ketiga2 jenis tauhid tu mesti ada.. Kalau tak ada salah satu maka dikira belum mentauhidkan Allah dgn sebenarnya.

Umpamanya Tauhid Rububiah memang telah pun terdapat pada golongan musyrikin Mekah tetapi mereka tidak memiliki Tauhid Uluhiah. Al-Quran 43:9 (al-zukhruf) yg bermaksud;

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang Musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Yang menciptakan ialah allah Yang Maha Kuasa Lagi Maha Mengetahui."

Lain latarbelakang ulama lain pula pembahagiannya. Tapi Tauhid yg tu juga iaitu mengesakan Allah Taala tanpa syirik. Kalau ulama hakikat pula membahagikan Tauhid itu kpd 4 iaitu Tauhid zat, tauhid sifat, tauhid asma` dan tauhid af-aal.

Untuk maklumat tambahan sila baca buku2 berikut;

1. Abd al-Jabbar Ibn Ahmad, Syarh al-Usul al-Khamsah, Kaherah:1965
2. Abd al-Latif `Asyur, Thalathah Yantaziruhum al-`Alam, Kaherah: 1987
3. Abd al-Rahman Badawi, Mazahib al-Islamiah, Beirut: Dar al-`ilm Lil malayin, juz 1.
4. Abdullah Ibn Zayd al-Mahmud, Tathqif al-Adhhan Bi `Aqidah al-Islam wal-Iman. Qatar:1982
5. Abd al-Razak dkk, Kitab al-Iman, Beirut:1982
6. Abu Abdullah Muhammad Ibn Yusuf al-Sanusi al-Husni, Akidah Ahl al-Tauhid al-Kubra, Kaherah, Jilid 2, 1973

Disqus for Jalanan Hamba