Perasaan cinta seseorang manusia pada sesuatu merupakan lumrah dan sifat itu telah ditetapkam oleh Allah S.W.T kepada hambaNya. Namun perasaan cinta seseorang manusia kepada sesuatu itu boleh menyebabkannya menjadi syirik kepada Allah Taala jika tidak kena dengan caranya.
Jadi bagaimanakah cara untuk mengelakan diri dari menjadi syirik ketika bercinta?
Ikuti pedoman-pedoman berikut.
Untuk menjelaskan tentang cinta agar tidak menjadi syirik, adalah lebih baik dijelaskan dari sudut tahap cinta. Ini kerana ia ada hubung kait dengan tauhid dan syirik kepada Allah S.W.T.
Beberapa hadith tentang cinta antaranya;
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه.
Terjemahannya:
Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri.
Ertinya mencintai saudara seagamanya termasuk lelaki dan perempuan. Tahap cinta itu tidaklah boleh melebihi. Tidak boleh keterlaluan. Cinta itu ialah sekadar seperti dia mencintai dirinya sendiri. Ibarat kata pepatah cubit paha kanan paha kiri pun terasa sakit. Oleh kerana orang Islam itu bersaudara maka mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Maka sebab itulah kita mencintai mereka. Sebabnya kita tidak boleh melakukan kerja bersendirian.
Hadith yang lain;
إن المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضا.
Terjemahannya;
Sesungguhnya seseorang mukmin dengan sesorang mukmin yang lain itu seperti binaan yang saling kukuh mengukuh di antara satu sama lain.
Ertinya kita memerlukan orang lain seperti sebuah bangunan yang terdiri daripada jongkong, besi, pasir, simen dan sebagainya. Kesemuanya berkerjasama bagi menguatkan bangunan. Jika salah satunya lemah akan melemahkan keseluruhan bangunan itu.
Hadith seterusnya tentang cinta;
لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده والناس أجمعين.
Terjemahannya;
Bersabda nabi Muhammad S.A.W: Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku dicintainya lebih dari bapanya sendiri dan manusia keseluruhannya.
Ertinya kita perlu mencintai nabi Muhammad. Tahap cinta kita kepada nabi itu hendaklah melebihi dari cinta kita kepada bapa kita sendiri termasuk ibu kita, anak-anak kita dan manusia keseluruhannya.
Itu semua adalah tahap cinta kita sesama manusia. Perlu ada tahap. Tetapi apabila masuk cinta kepada Allah, maka cinta kita kepada Allah hendaklah melebihi dari segala-galanya. Mencintai yang lain melebihi cinta kepada Allah akan menjadi syirik iaitu menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Menduakan Allah Taala pada cinta. Menyamakan pun dah jadi syirik apatah lagi melebihkan cinta yang lain berbanding cinta kepada Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan