Jumaat, November 01, 2013

Bajet 2014: Apa Kata Akhbar-akhbar Tempatan

Pada jumaat 25 Oktober 2013, kira-kira jam 4.30 petang, Y.A.B Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Najib Tun Razak telah membentangkan bajet 2014 bertempat di Parlimen Malaysia dengan bertemakan 'Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji'.

Apa kata akhbar-akhbar tempatan berkenaan dengan bajet 2014 tersebut? Apakah yang menghiasi muka depan akhbar-akhbar tempatan dan apakah yang menjadi tajuk utama mereka? Meh lihat sini !

Meski pun pembentangan di parlimen agak berjela-jela dan mengambil masa yang agak lama juga namun hanya beberapa perkara sahaja yang menjadi topik hangat di akhbar-akhbar. Antara topik hangat yang diperkatakan di akhbar-akhbar ialah isu pemberian BRIM, penghapusan subsidi gula dan isu penyelarasan cukai baru GST. Ketiga-tiga isu ini menjadi perbualan hangat orang-orang kampung dan rakyat marhein kerana menyentuh diri mereka secara langsung.

Akhbar lidah rasmi kerajaan 'Utusan Malaysia" melaporkan bahawa bajet yang dibentangkan ini ialah Bajet Laksana Janji atau bajet janji ditepati sepertimana yang telah tercatat dalam manifesto BN sebelum PRU 13 baru-baru ini.

Dalam manifesto BN PRU13: Antara janjinya ialah BRIM akan dinaikkan kepada 1200 untuk isi rumah dan harga kereta turun 20 hingga 30 peratus.

Sedutan teks ucapan belanjawan oleh Dato' Sri Najib Razak berkenaan BRIM 3.0. Teks ucapan bernombor 210, 211 dan 212;

"Tuan Yang di-Pertua,

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)

210. Selanjutnya, dalam usaha untuk terus meringankan beban hidup rakyat, bersesuaian dengan pelaksanaan subsidi bersasar, sukacita saya mengumumkan bahawa program Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 3.0 kepada isi rumah dan individu bujang akan ditambah baik.

211. Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan tiga ribu ringgit dan ke bawah, akan ditingkatkan nilai bantuannya, daripada 500 ringgit kepada 650 ringgit.

212. Seterusnya, bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi dua ribu ringgit sebulan, nilai BR1M akan dinaikkan daripada 250 ringgit kepada 300 ringgit."

Pemberian BRIM ini pada awalnya telah timbul ura-ura ingin dimansukhkan tetapi mungkin atas sebab-sebab tertentu ianya masih diteruskan dalam bajet ini. Tetapi BRIM yang dicadangkan ini bukanlah RM 1200 seperti yang dijanjikan.

Perkara kedua dalam bajet 2014 yang heboh diperkatakan oleh masyarakat ialah penghapusan subsidi gula. Dalam bajet 2013 yang lalu, harga gula juga yang menjadi salah satu topik hangat dimana dalam bajet 2013 harga gula dinaikkan 20 sen. Tetapi dalam bajet 2014 ini, subsidi gula dihapuskan 36 sen.

Alasan kerajaan menghapuskan subsidi gula pula adalah bagi mengelakkan penyakit kencing manis.

Banyak pula alasan-alasan yang muncul selepas itu umpamanya DS Najib sendiri ketika merasmikan persidangan perwakilan nasional Gerakan pada 26 Oktober 2013 mempertahankan langkah kerajaan memansuhkan subsidi gula dengan mengingatkan bahawa pengambilan gula yang berlebihan boleh menjejaskan kehidupan seks seseorang.

Berikut adalah sedutan teks ucapan belanjawan yang dibentangkan oleh Dato' Sri Najib Razak;

"163. Statistik juga menunjukkan terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes. Sekiranya tidak dikawal, pesakit akan mendapat pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, mata buta dan kaki terpaksa dipotong.

Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan untuk memansuhkan subsidi gula sebanyak 36 sen berkuatkuasa 26 Oktober 2013. Saya menyeru agar kita bersama-sama menjaga kesihatan. Kurangkan manis dalam makanan dan minuman."

Sedutan teks belanjawan yang bernombor 101 pula berkenaan dengan GST.

"Tuan Yang di-Pertua,

101. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan atau Sales Tax and Services Tax dimansuhkan. Dua cukai yang dimansuhkan ini pula akan digantikan dengan satu cukai sahaja yang dikenali dengan nama Cukai Barang dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax atau GST. Ringkasnya, perlu saya tegaskan, bahawa GST bukanlah cukai tambahan baru."

Intipati bagi GST yang ditetapkan sebagaimana berikut;

* Cukai jualan dan perkhidmatan akan dimansuhkan dan digantikan dengan satu cukai sahaja yang dikenali sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

* Kadar GST ditetapkan pada 6 peratus dan akan berkuat kuasa mulai 1 April, 2015.

* GST tidak akan dikenakan bagi bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

* Perkhidmatan pengangkutan seperti bas, kereta api, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan dikecualikan daripada GST.

(Sumber Sinar Harian: http://www.sinarharian.com.my/nasional/inti-pati-bajet-2014-1.214469)

GST jana hasil RM 27 bilion.

Ini pula pandangan daripada salah sebuah laman di Facebook;



Manakala tajuk utama Sinar Harian edisi Selangor & KL 27 Oktober 2013 pula mempersoalkan pihak yang mendapat keuntungan sebenar daripada GST yang ditetapkan kepada rakyat.

Secara keseluruhannya menurut Keadilan Daily, bajet 2014 hanyalah menambahkan bebanan rakyat.



Menurut Harakah Daily pula, bajet 2014 gagal mengimbangi hutang negara.



Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan sebenarnya ialah memastikan tidak ada ketirisan, pembaziran, keborosan dan penyelewengan di jabatan-jabatan kerajaan. Jika ini dapat dilakukan maka berapa banyak perbelanjaan boleh dijimatkan dan dengan ini sudah tentu tidak timbul lagi masaalah bebanan kewangan yang ditanggung oleh kerajaan.


Tiada ulasan:

Disqus for Jalanan Hamba