Rabu, Disember 16, 2009

1 Muharram awal tahun Hijrah

Muharram bererti yang diharamkan.
Bulan Muharram ialah bulan pertama
dalam calendar hijriah. Ia merupakan salah satu dari empat bulan yang dihormati. Masyarakat arab dahulu seboleh-bolehnya mengelak dari berperang dalam bulan-bulan tersebut.

Kalendar bulan hijriah menggunakan kiraan Qamariah iaitu satu bulan hijriah ialah satu pusingan bulan mengelilingi bumi iaitu sebanyak 29 hari atau 30 hari. Manakala satu tahun hijriah pula ialah 12 kali bulan mengelilingi bumi. Oleh itu satu tahun hijriah ialah sebanyak 354 hari.

Awal Muharram disambut pada 1 Muharram setiap tahun. Ia merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Ia memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Di Malaysia sambutan Awal Muharram dikenali juga dengan sambutan Maal Hijrah.

Ada dua persoalan yang sedang bermain dalam fikiran aku sejak dahulu lagi tentang penggunaan istilah Maal Hijrah ini. Apa yang aku tahu istilah Maal Hijrah ini baru sahaja diperkenalkan di Malaysia. Secara pastinya aku tidak ingat bila. Tapi sudah lebih 10 tahun diperkenalkan. Sebelum ini istilah yang digunakan ialah Awal Muharram.

Persoalan pertama ialah dari sudut penggunaan tatabahasa atau nahu sarf. Aku Nampak macam pelik sahaja istilah itu. Asal tulisannya ialah Ma’a al-hijrah. Ma’a ialah kata sendi atau harf yang bererti bersama. Jadi Ma’a al-hijrah bererti bersama hijrah. Mungkin boleh difahami apakah yang dikehendaki daripada Ma’a al-hijrah itu. Tetapi memulakan sesuatu istilah dengan kata sendi adalah sesuatu yang pelik kerana perkataan hijrah boleh difahami sebagai satu objek. Contohnya aku pergi bersama hijrah atau aku melakukan sesuatu bersama hijrah.

Persoalan kedua adakah di negara-negara Islam yang lain turut menggunakan istilah ini. Maksudnya ialah di negara Islam yang bukan melayu seperti di negara-negara arab. Aku rasa mereka tidak akan menggunakan istilah yang mereka tidak faham.

Walaubagaimanapun, apa yang penting di sini ialah pengisiannya. Bukanlah istilah itu yang penting. Apakah amalan-amalan yang seharusnya dilakukan bagi menyambut Awal Muharram atau kedatangan tahun baru Islam ini..

Selamat Tahun Baru...

Tiada ulasan:

Disqus for Jalanan Hamba