Bolehkah menggabungkan puasa qada' dan puasa 6 hari di bulan Syawal ?
Sebelum dibahaskan tajuk ini, terlebih dahulu perlu difahami perbezaan di antara matlamat dan wasilah (alat) dalam ibadah. Contoh ibadah yang mempunyai matlamatnya yang tersendiri ialah solat yang wajib 4 rakaat pada waktu zohor dan solat yang disunatkan 2 rakaat sebelum menunaikan solat yang wajib itu. Kedua-duanya mempunyai matlamat yang tersendiri, dan bukannya yang kedua itu menjadi wasilah (alat) kepada yang pertama.
Contoh wasilah (alat) dalam ibadah pula ialah mengangkat hadath kecil (wudu’) atau hadath besar (mandi junub). Ianya dikatakan wasilah (alat) dalam ibadah kerana tidak sah solat itu melainkan dalam keadaan suci dari hadath kecil atau hadath besar. Maka mengangkat hadath kecil (wudu’) atau hadath besar (mandi junub) itu menjadi wajib kerana syarat sah solat ialah suci. Dalam keadaan biasa hukum wudu’ dan mandi adalah sunat. Sepertimana yang terdapat dalam usul feqah iaitu sesuatu yang tidak akan menyempurnakan yang wajib melainkan dengannya maka hukumnya adalah wajib juga.
Dalam kes menggabungkan 2 ibadah (Berniat untuk mengerjakan 2 ibadah serentak)
Ulamak bersepakat mengatakan bahawa menggabungkan 2 atau 3 ibadah serentak dibolehkan pada ibadah yang berbentuk alat (wasilah) dan juga dibolehkan pada ibadah yang bukan menjadi matlamat.
Misalnya seorang yang berjunub pada hari Jumaat berniat mengangkat hadas dan mandi sunat Jumaat sekaligus. Janabah terangkat dan pahala mandi Jumaat akan terhasil. Ini kerana ibadah mandi hadas adalah alat untuk mendapat kesucian. Ibadah mandi sunat Jumaat juga bertujuan untuk membersihkan diri. Kedua-dua dilakukan sebab untuk mendirikan solat yang menjadi tujuannya.
Misalnya yang lain ialah seseorang memasuki masjid lalu menunaikan solat sunat sebelum Zohor dan berniat tahiyyatul masjid sekaligus. Ini dibolehkan kerana solat sunat Tahiyyatul masjid tidak menjadi matlamat di sini.
Sekiranya kedua-dua ibadah itu menjadi matlamat maka ia tidak boleh digabungkan. Contohnya mengabungkan antara Qadaâ subuh dan sunat Dhuha. Qada subuh dituntut kerana meninggalkan solat wajib pada waktu subuh. Sedangkan Sunat Dhuha pula disunatkan setelah masuknya waktu Dhuha.
Rujukan asal ialah daripada (Ibn Rajab al-Hanbali, al-Qawa`id, hlm. 24).
(boleh dirujuk kepada darulfuqaha.com ada dijelaskan juga hal ini.)
Menggabungkan antara niat qadaâ dan niat puasa sunat
Kalau berdasarkan huraian di atas maka tidak boleh menggabungkan niat qada’ dan niat puasa sunat.
Mereka berhujah dengan dalil umum tentang niat iaitu sabda Nabi saw:
إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى
Maksudnya: Amalan-amalan itu hanyalah berdasarkan niat-niat. Dan setiap orang mendapat hanya apa yang diniatkan. (Hadis riwayat Bukhari no1 dan Muslim no 3530)
Bentuk pengambilan dalilnya ialah: orang yang berpuasa tadi berniat kedua-duanya. Justeru, terhasillah pahala bagi kedua-duanya.
Menurut Zakariya al-Ansari: Sekiranya dia berpuasa di bulan Syawwal kerana qada puasa Ramadhan atau lainnya samada nazar atau sunat yang lain, terhasillah baginya pahala sunat Syawwal kerana paksinya ialah pada wujudnya puasa pada enam hari di bulan Syawwal meskipun tidak menyedarinya. Namun, ia tidak mendapat pahala penuh puasa syawwal melainkan dengan niat berpuasa 6 hari Syawwal lebih-lebih lagi orang yang terluput puasa ramadhan kerana tidak menepati atas dirinya kaedah berpuasa ramadhan dan mengekorinya dengan 6 hari syawwal (al-Syarqawi `ala al-Tahrir, juz 1, hlm. 427).
Menurut kebanyakan ulama, niat puasa yang mengabungkan antara Qadaâ dan puasa sunat Syawal hanya menjadikan ia sah untuk puasa qadaâ sahaja. Menurut Ibn Hazim kedua-duanya tidak sah. (al-Muhalla, juz 4, hlm. 302) Hujah mereka ialah kerana kedua-dua ibadah tersebut merupakan ibadah yang dimaksudkan dan menjadi matlamat secara tersendiri. (Ibn Rajab al-Hanbali, al-Qawa`id, hlm. 24).
Puasa Qada Ramadhan adalah dituntut kerana meninggalkan puasa Ramadhan. Puasa 6 Syawwal pula dituntut sebagai ekoran daripada puasa wajib Ramadhan.
Imam Nawawi menjelaskan, antara amalan Aisyah RA ialah beliau tidak melakukan puasa qadha' pada bulan Syawal, malah menyempurnakan puasa sunat syawal sahaja dan menghabiskan puasa qadha'nya di bulan-bulan lain.
Jadi boleh mendahulukan puasa sunat daripada puasa wajib. Ini kerana puasa qada’ walaupun dilakukan pada bulan-bulan yang lain tetap mendapat 10 kerana ia adalah puasa wajib ramadhan yang diqada’. Tetapi puasa sunat 6 hari syawal hanya boleh dilakukan pada bulan syawal.
Imam Syafi'iy (al Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab 'Innamal a'malu binniat (setiap amalan dengan niat) : hendaklah dibedzakan ibadah puasa ramadhan, puasa nazar, puasa kafarat, puasa qadha' dan puasa tatawwu' (sunat).
Imam Jalaluddin as Syuyuti (al Isybah) juga berpendapat demikian hendaklah diasingkan puasa Ramadhan, atau nazar atau puasa sunnat.
Sekian..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan