Setelah tamat tahun enam (pada masa itu disebut darjah enam) aku telah menyambung pelajaran di SMU(A) Yaakubiah Nipah, Bachok, Kelantan iaitu salah sebuah sekolah beraliran arab agama.
Pada masa itu sekolah beraliran arab agama yang dikelolakan oleh Yayasan Islam Kelantan mempunyai tingkatan peralihan. Dimana seseorang yang akan memasuki persekolahan ini perlu menduduki tingkatan peralihan selama setahun. Jadi jika dikira dengan umur, pelajar di sekolah ini setahun lebih tua berbanding dengan pelajar sekolah aliran biasa.
Aku belajar di SMU(A) Yaakubiah Nipah, Bachok, Kelantan dari tahun 1981 - 1986 iaitu dari tingkatan peralihan hingga tingkatan lima sahaja kerana sekolah ini pada masa itu hanya menyediakan pembelajaran setakat tingkatan lima.
Alhamdulillah selama belajar di sekolah ini aku lulus sepanjang tahun. Ini kerana sistem persekolahan aliran agama pada masa itu menghendaki pelajarnya lulus peperiksaan setiap tahun untuk melayakkannya naik ke tingkatan seterusnya. Jadi bagi aku dan pelajar-pelajar yang lain setiap tahun adalah mencabar dan setiap peperiksaan adalah penting.
Para pelajar yang mengikuti aliran arab agama kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) terpaksa menjalani peperiksaan setiap tahun dan tidak ada bagi mereka istilah tahun berbulan madu. Sistem persekolahan arab kelolaan YIK dari dulu hingga sekarang mengguna pakai dua sistem serentak iaitu sistem peperiksaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan pada masa yang sama juga melaksanakan sistem peperiksaan Yayasan Islam Kelantan.
Ketika di tingkatan satu, mereka terpaksa lulus peperiksaan akhir tahun, jika tidak mereka tidak dibenarkan untuk naik ke tingkatan dua dan terpaksalah mengulang setahun lagi di tingkatan satu.
Semasa di tingkatan dua pula, mereka berhadapan dengan satu peperiksaan yang dikeluarkan oleh Pihak Lembaga Peperiksaan YIK iaitu peperiksaan Sijil Rendah Agama (sekarang Penilaian Menengah Rendah Ugama).
Di tingkatan tiga, mereka terpaksa menjalani peperiksaan Sijil Rendah pelajaran (SRP) yang kini diubah kepada Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Tingkatan empat pula memaksa mereka lulus peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU). Pada masa yang sama mereka tetap mempelajari matapelajaran akedemik sebagai persediaan untuk peperiksaan pada tahun berikutnya.
Tingkatan lima adalah tahun yang mencabar kerana pada tahun ini pelajar-pelajar berhadapan pula dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tapi bak kata pepatah alah bisa tegal biasa dengan peperiksaan demi peperiksaan yang dihadapi sepanjang tahun.
Di sekolah ini aku tamat setakat tingkatan lima dan terpaksa menyambung pelajaran di sekolah lain bagi menduduki tingkatan enam.
Laman Web Rasmi Sekolah ini ialah;
http://smuay.kelantan.edu.my/
Alumni Maahad Yaakubiah Nipah;
http://mayaunited.ning.com/
Bagi mereka yang ada Facebook, boleh menyertai kumpulan ini di;
http://www.facebook.com/group.php?gid=10150094236680643
Kini dah ada Portal Rasmi sekolah ini, dikenali dengan nama Portal Rasmi MAYA;
http://mynipah.net/v2/
1 ulasan:
admin...salam ukhuwah.
sila update website maahad yaakubiah nipah
http://mynipah.net
sekarang dikenali dengan nama MAYA (Maahad Yaakubiah)
Catat Ulasan