Sebab itulah aku terpanggil untuk berkongsi entri ini terutama dengan pelajar yang beraliran agama arab. Apakah teknik-teknik belajar berkesan agar kita mendapat kelulusan yang baik dalam peperiksaan. Teknik yang bergantung kepada menghafal semata-mata haruslah dielakkan kerana ia akan memenatkan tubuh badan dan jiwa raga kita. Cara yang akan aku ceritakan ini seratus peratus berdasarkan pengalaman aku dan tidak disedut dari mana-mana artikel.
Aku rasa faktor aku menetap bersama pelajar senior banyak mempengaruhi keputusan peperiksaan akhir semester aku bagi sesi 1988/1989. Selain dari usaha gigih aku sendiri dalam mentelaah pelajaran dan sentiasa berdoa kepada Allah Taala.
Sebenarnya tahun pertama adalah tahun yang paling mencabar berbanding dengan tahun akhir kerana pada tahun pertama ini kita akan merasakan sesuatu yang agak asing. Mata pelajaran yang kita belajar di sekolah mungkin sudah tidak sama lagi di sini. Penyampaian dari pensyarah juga adalah dalam bahasa arab sepenuhnya.
Kalau sewaktu di tanahair guru-guru akan menyampaikannya melalui bahasa melayu. Sekiranya tidak faham, kita boleh bertanya mereka dengan bahasa melayu juga. Tetapi di sini berbeza. Komunikasi dan interaksi dengan pensyarah dan bahan-bahan bacaan kesemuanya di dalam bahasa arab. Jadi berlakulah kejutan budaya bagi pelajar-pelajar baru di dalam proses pembelajaran mereka.
Tanpa bantuan dan tunjuk ajar dari kawan senior mungkin agak susah untuk mempelajari sesuatu yang baru di sini. Aku dikira bernasib baik dan beruntung kerana dapat tinggal bersama senior. Kebetulan anak sepupu aku yang telah pun belajar di sini setahun lebih awal daripada aku mempelawa aku untuk tinggal bersama dengan gengnya.
Untungnya tinggal bersama set-set lama ni, kita boleh bertanya mereka apa yang kita tidak faham. Sudah tentu pada tahun pertama ni bukan sebaris dua yang kita tidak faham malah mungkin hampir kesemuanya yang kita tidak faham. he he he... Namun berkat usaha, semakin lama semakin banyak yang aku faham.
Sewaktu aku di tahun pertama, seingat aku sekalipun aku tidak pernah tinggal kuliah. Faham atau tidak faham pensyarah mengajar, aku tetap hadir ke kuliah. Meskipun kehadiran itu tidaklah diwajibkan. Tidak ada tandatangan kehadiran pun diambil. Tetapi oleh kerana kita sering mendengar penerangan oleh pensyarah, lama-kelamaan kita semakin faham apa yang diperkatakannya.
Apabila semakin dekat dengan peperiksaan, maka saat itulah waktu yang paling mustahak kita menghadiri kuliah. Ini kerana apa yang dititikberatkan oleh pensyarah pada masa itu biasanya akan keluar di dalam peperiksaan. Kita perlu mengetahui tajuk mana yang muqarrar dan yang tidak muqarrar peperiksaan. Ketika dekat dengan peperiksaan itulah biasanya pensyarah akan menyatakan tajuk mana yang akan masuk peperiksaan dan yang tidak akan masuk peperiksaan. Semakin dekat dengan tarikh peperiksaan itu maka semakin sedikitlah muqarrarnya (sukatan peperiksaan).
Disamping itu di tepi-tepi helaian muzakkirat akan aku tandakan kata kunci bagi memudahkan mengingati apakah jenis perbincangan pada helaian itu. Di setiap perenggan aku meletakkan kata kunci. Apabila melihat kata kunci tersebut maka aku akan cuba memahami apakah perbincangan dalam perenggan tersebut. Apabila dekat dengan peperiksaan aku hanya akan menghafal kata kunci tersebut. Muzakkirat ialah nota atau buku yang biasanya ditulis sendiri oleh pensyarah dan dijualkan kepada pelajar-pelajarnya.
Cara inilah yang aku lakukan sewaktu belajar dahulu. Aku teruskan dengan cara ini sehinggalah ke tahun akhir (Tahun empat). Alhamdulillah berkat kesabaran dan usaha yang gigih, aku telah memperolehi pangkat jayyid di dalam peperiksaan tahun pertama dan juga tahun akhir. Ada yang dapat jayyid jiddan dan mumtaz pun... Tapi itulah sekadar kemampuanku dan pencapaianku alhamdulillah.
Kesimpulan teknik belajar berkesan agar mendapat pangkat Jayyid dan ke atas ialah;
- Sentiasa berdoa kepada Allah Taala agar diterangkan mata hati kita.
- Suka bertanya orang-orang lama terhadap apa yang kita tidak faham bersabit dengan madah (pelajaran) kita. Turut serta jika ada kelas tambahan yang dibuat oleh orang lama terhadap madah kita.
- Jangan mis kuliah.
- Jangan ketinggalan info terbaru tentang tajuk-tajuk muqarrar peperiksaan.
- Buat kata kunci di tepi setiap perenggan atau helaian muzakkirat bagi mengingati apakah perbahasan pada perenggan atau helaian itu.
- Usaha yang gigih
1 ulasan:
syukran yaa akhi....
sangat2 berguna untuk saya dan
rakan2 yg masih dalam tahun pertama di Mesir ini....semoga ALLAH mmberkati anda..
Catat Ulasan